Friday, June 19, 2009

TINGGI CITA-CITA

Hidup mesti mempunyai cita-cita. Tinggi cita-cita menjadikan manusia akan sentiasa hendak mencapainya dengan lebih sempurna. Manusia tidak akan pernah cukup dengan apa yang ada pada mereka. Hanya manusia yang bercita-cita akan beroleh kemajuan di dalam hidupnya.
Tinggi cita-cita berkait rapat dengan harga diri dan kemuliaan diri. Tahu harga diri dan kemuliaan diri menyebabkan manusia tidak suka melakukan pekerjaan yang hina di kaca mata masyarakat. Sebab itulah orang yang mempunyai cita-cita tinggi dan terkenal sedikit jumlahnya dari orang kebanyakan.
Orang yang bercita-cita tinggi dan tahu harga diri tidak mahu mendekati pekerjaan yang hina, pekerjaan yang tidak layak untuknya.
Ketinggian cita-cita itu membezakan setengah manusia dengan manusia yang lain. Di dalam hidup kita ini, kita berusaha untuk mencapai cita-cita: hendak menjadi orang yang mulia, budiman, menjadi orang yang bijak pandai, yang berbudi kepada ibubapa dsb, tegasnya menjadi seorang yang berbeza daripada orang lain di dalam hidup. Jika anda bercita-cita dan berusaha, maka akan tercapailah, sebelum anda mati, ada yang tercapai semuanya dan ada pula yang ala kadar sahaja.
Kepada anak-anak muda haruslah memiliki perasaan tinggi cita-cita anda, supaya hidup anda lebih bererti, kerana apabila cita-cita anda yang tinggi itu tercapai, terutama apabila zaman tua menjelma anda akan menoleh kembali kepada anak-anak tangga yang dilalui sebelumnya dengan tersenyum.
Angan-angan yang tinggi berbeza dengan cita-cita tingi. Angan-angan tinggi menyebabkan pemuda-pemudi suka menggantang asap (menginginkan sesuatu yang sukar dicapai). Tidur di siang hari sewaktu orang lain sedang sibuk bekerja keras. Di waktu tidur dia berangan-angan hendak membeli sebuah kereta baru yang bergaya, hendak naik kapal terbang ke New York, London dan sebagainya.
Cita-cita membawa kepada kebesaran dan kemuliaan diri, sedangkan angan-angan merosakkannya dan membawa ke jurang yang tidak baik.

No comments:

Post a Comment