Tuesday, June 9, 2009

MENGHORMATI IBUBAPA

Menghormati ibubapa dan mencintai mereka merupakan satu perbuatan yang amat mulia. Sejauh mana sekalipun langkah seorang anak, setinggi mana sekalipun kemasyhuran nama dan kekayaan seorang anak, belum layak dianggap sopan seandainya si anak belum menunjukkan baktinya kepada kedua ibubapanya.
Hanya orang yang telah berkeluarga dan mempunyai anak yang akan tahu bagaimana kasih dan cintanya ibubapa kepada anak-anaknya. Cinta dan kasih sayang ibubapa tidak mengharapkan balasan. Tidak ada suatu pengorbanan pun yang dapat menandingi pengorbanan ibubapa terhadap anak-anaknya.
Cinta seorang kekasih kepada kekasihnya mengharapkan laba. Seorang lelaki mencintai seorang perempuan cantik ialah kerana kecantikannya. Cinta ibu tidak demikian, tidak ada satu pengorbanan melebihi pengorbanan seorang ibu yang mengandungkan anaknya sejak bulan pertama sehingga melahirkannya. Bagaimana payah dan sakit sekalipun, apabila seorang ibu mendengar tangisan anaknya ketika mula dilahirkan ketika itu jugalah hilang kesakitannya. Apabila anak dilahirkan maka si ibu lupa untuk menghiasi diri, lupa makan dan lupa minum, asalkan anaknya sihat.
Ada masanya jika anak itu demam, bukanlah anak itu yang lebih menanggung sakit, tetapi ibunya sendiri. Merintih anak kesakitan tengah malam, si ibu yang akan bangun terlebih dahulu. Sehinggakan nyamuk seekor dihalaunya.
Apabila anak telah bertambah dari seorang kepada berdua dan bertiga dan empat dan lima dan seterusnya, namun kasih ibu tidak berbeza terhadap seorang anaknya.
Kelak apabila anak itu dewasa, si ibu akan melepaskan seorang demi seorang dari jagaannya, anak lelaki mendirikan rumahtangganya sendiri, ada rezeki memilik anak, yang perempuan mengikut suaminya. Apa yang tinggal pada ibu hanya memori pahit manis ketika membesarkan anak-anaknya.
Cinta dan kasih sayang bapa juga tidak kurang dari cinta si ibu. Si bapa bekerja siang malam mencari nafkah halal, paginya hilang hanya kembali pada malamnya, ada yang kais pagi makan pagi, kais petang belum tentu dapat makan malamnya. Asalnya bapa juga seorang lelaki dewasa, berkahwin dan ada cahaya mata. Lahir sahaja anak pertama senda gurau dengan isterinya (ibu) telah beransur kurang, kekurangan itu bertambah dengan bertambahnya anak kerana memberi perhatian kepada anak-anak yang sedang membesar.
Bapa yang telah matang pemikiran bersama kematangan usianya akan memikirkan masa depan anak-anaknya, jadi siapakah anak-anak aku esok, bagaimanakah keadaan dan nasib anak-anak aku jika aku mati sekarang, bagaimana nasibnya pula jika aku jatuh sakit. Apabila anak-anak telah dewasa, mereka akan berumahtangga dan terikat dengan isteri/suami dan anak-anaknya pula. Anak-anak tidak sempat membalas kasih sayang kepada ibubapanya kerana si anak akan mempunyai anak-anak juga. Si bapa tidak lagi merasai balasan dari anak-anaknya, dan dia tidak mengharapkannya. Cinta seorang anak kepada ibubapanya tidak sama dengan cinta ibubapa kepada anak-anaknya, maka dengan itu anak-anak seharusnya menghormati kedua-dua ibubapanya, jangan disia-siakan mereka.
Akan hibalah hati seorang ibu yang mempertaruhkan nyawanya, memerah air susunya untuk membesarkan anak-anaknya jika anak-anaknya dengan mudah melupakan ibunya. Bersedihlah seorang bapa, yang ubannya telah tumbuh, sedangkan semasa mudanya dikala kekuatan masih dimilikinya digunakan untuk membesarkan anak-anaknya, sekarang anak-anak yang sama itu tidak memperdulikannya.
Fahaman anak muda zaman sekarang amat berbeza dengan fahaman di zaman ibubapanya. Pendirian anak akan sentiasa tidak sama dan bertentangan dengan pendirian ibubapa. Di dalam hal ini, selaku anak sekali-kali tidak boleh mengecewakan hati orang tuanya, walaupun tidak sependirian. Jangan dilawan dan dikasari. mentang-mentang ibubapa memakai otak lama dan hendak mengukur dunia baru mengikut fahaman lima puluhan, janganlah disingkirkan mereka ketepi, hormati mereka, cari jalan dan berusaha supaya ibubapa mengerti seiring dengan fahaman dunia baru.
AMATI DAN RENUNGILAH.

No comments:

Post a Comment