Ilmu itu harus terlebih dahulu daripada amal, iaitu bekas yang terlukis di otak orang yang berilmu di dalam perkara yang diketahuinya. Umpama seorang pelukis yang hendak melukis gambar, terlebih dahulu telah ada gambar di dalam otaknya barulah ia melukiskannya.
Iman atau kepercayaan lebih tua daripada ilmu, iman menjadi dasar daripada ilmu, oleh sebab itu para Nabi-Nabi dahulu menanamkan iman daripada menyinarkan ilmu.
Orang barat menjadi contoh dunia kerana ilmunya, orang Timur selalu menjadi pengikut. Orang barat berkejar ke medan ilmu, orang timur meninggalkannya. Pada masa dulu mengejar ilmu menjadi keutamaan pada orang timur, kerana mereka sumber ilmu kebatinan, sumber tuntutan untuk akhirat. Bagaimanapun kemudiannya kepentingan akhirat telah mereka lalaikan, atau hanya semata-mata akhirat sahaja yang menjadi keutamaan sehingga terlupa akan dunia. Kesannya orang timur lemah apabila berhadapan dengan kekuatan barat.
Menurut undang-undang alam, segala agama atau pengajaran yang hanya mementingkan batin sahaja, tidak mementingkan peri pentingnya kehidupan, mesti kalah oleh material, oleh orang-orang yang mementingkan kebendaan. Tetapi apabila pengajaran yang mementingkan kerohanian itu telah kalah dan yang menang material, ia mesti jatuh semula dan dunia akan kehilangan kesucian batin.
Kemanakah mahu dicari agama yang demikian pada masa kini? kalau bukan kepada Islam, bukankah Islam yang menyuruh manusia mengambil kesempatan selagi hayat dikandung badan, buat persediaan untuk akhirat dan melarang manusia melupakan kewajipannya sebagai manusia di dunia.
Zaman sekarang umat Islam terutamanya para alim ulamak mempunyai tugas yang amat berat untuk mengembalikan perhatian manusia kepada Islam. Jangan dijadikan agama pusaka, agama yang kaku, agama yang tidak bergerak, tetapi agama yang kulitnya sentiasa bersalin baru, yang hidup dan bergerak iaitu agama lmu dan agama iman.
Ilmu yang dikawal iman adalah ilmu yang menghargai kehidupan sesudah kehidupan sekarang , itu asas kebahagiaan. Ilmu yang bersemangat iman itu teguh tumbuhnya di dalam dada jika diiringi pula dengan amal, kerja dan usaha. Tidak ada gunanya jika ilmu tidak diiringi dengan amal. Apalah maknanya nasihat doktor bahawa puasa itu baik untuk kesihatan, jika dia sendiri tidak mengamalkannya.
Tidakkah ganjil nasihat seorang guru agama mengatakan bahawa sembahyang yang kusyuk mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar jika guru berkenaan ketika bersembahyang fikirannya berputar-putar kepada wang. Amat pelik juga jika pemimpin rakyat mengajak rakyat bersatu dan berdamai sedangkan sesama mereka berebut kuasa dan pengaruh dan saling ingin menjatuhkan.
Ada ahli agama yang berapa simpang jalan di syurga, berapa pintu masuk ke dalam syurga, tahu nama "Ma'awaa" dan "Na'im", tahu nama-nama bidadari di dalamnya, tahu malaikat yang menjaga langit dan bumi. Dia berfatwa bahawasanya yang yang memberi lebih mulai dari yang menerima, tetapi, hidupnya mengharapkan zakat.
No comments:
Post a Comment